Wednesday

PENDAHULUAN



Pada hari Rabu bertarikh 9 Mei 2012 yang lepas, mahasiswa dan mahasiswi Diploma Pendidikan GSTT telah melawat ke Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP) di Bukit Kiara, Kuala Lumpur. Hasil lawatan tersebut, kami telah ditugaskan membuat laporan lawatan kami dalam bentuk digital dan termasuk dalam pemarkahan tugasan. Dengan itu, blog ini diwujudkan untuk perkongsian ilmu dan pengalaman baru yang mungkin boleh dikongsikan kepada semua terutamanya kepada bakal-bakal guru.

Antara objektif lawatan ke BTP ialah:

a)   Memberi pendedahan kepada pelajar tentang fungsi & peranan BTPN dan Pusat Sumber Pendidikan Negeri.

b)  Memberi panduan asas kepada pelajar tentang institusi yang boleh dirujuk dalam penggunaan BBM.

c)   Memenuhi keperluan subjek KPT4033 seperti yang ditetapkan oleh KPM.

Tuesday

PROGRAM DI BTP


Lebih kurang jam 9 pagi, rombongan mahasiswa DPLI dan pensyarah telah sampai ke Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP) dan kami semua telah dibawa ke auditorium. Majlis berlangsung dengan ucapan alu-aluan daripada pengerusi majlis dan ucapan Timbalan Pengarah BTPN iaitu Tn. Hj. Wan Mohd Nor bin Wan Endut. Beliau telah bercerita ringkas tentang latar belakang dan sejarah penubuhan BTP, peranan BTP kepada golongan pendidik, fungsi BTP dan lain-lain.  Intipati lain dalam ucapan beliau adalah sistem pendidikan dulu dengan sekarang yang banyak berbeza yang mana pada masa dulu pembelajaran secara konvensional berbanding sekarang yang lebih penggunaan teknologi yang canggih. Namun, proses pembelajaran boleh berlaku di mana-mana sahaja. Beliau juga menegur masyarakat kita di sekolah yang mempunyai sikap mementingkan jabatan masing-masing yang mana kemudahan yang disediakan oleh pihak kerajaan tidak digunakan sepenuhnya bersama-sama. Ini menyebabkan berlakunya kerosakan peralatan yang disediakan akibat peralatan tersebut tidak digunakan sebaik-baiknya. Selain itu, guru perlu menimba lebih banyak ilmu dengan memperbanyakkan membaca untuk menjadikan guru lebih hebat dan terbaik. Seterusnya dapat mencungkil dan melahirkan pelajar yang berilmu dan berketrampilan.

BTP di Bukit Kiara mempunyai 11 sektor atau bahagian yang diketuai oleh Pn. Rosnani Bt. Mohamed Ali sebagai Pengarah BTPN. Namun, kami berpeluang mendengar taklimat daripada beberapa sektor memandang faktor masa yang singkat. Antaranya taklimat ringkas oleh penceramah wakil bagi setiap Sektor Resos Pembelajaran, Sektor TMK Pendidikan, Sektor Penyiaran Pendidikan, Sektor Pengurusan Literasi Teknologi Pendidikan dan Sektor Pembestarian Sekolah. Selesai taklimat daripada para penceramah, kami telah dibahagikan kepada empat kumpulan untuk memudahkan lawatan ke setiap sektor yang dinyatakan tadi.


Lawatan ke Sektor Resos Pembelajaran




Peranan sektor ini untuk melaksanakan pembangunan e-Bahan dan perisian kursus kepada keberkesanan produk-produk teknologi pendidikan yang digunakan di sekolah-sekolah. Kini, dalam usaha menerap dan membudayakan penggunaan teknologi pendidikan di sekolah, sektor ini memberi fokus kepada usaha promosi dan inovasi dalam bidang teknologi pendidikan. Peranan ini adalah sejajar dengan visi BTP untuk mewujudkan budaya penggunaan teknologi pendidikan di sekolah dengan misi membina dan mengekalkan budaya penggunaan teknologi pendidikan dalam kalangan guru dan murid bagi mempertingkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran.

Sektor ini menghasilkan bahan pengajaran dan pembelajaran yang diterbitkan melalui media cetak, radio, televisyen, cd rom dan rangkaian komputer. Pada awalnya, penggunaaan tv pendidikan, cd rom yang diedarkan ke sekolah-sekolah dan sekarang telah berubah kepada bahan pengajaran atas talian iaitu bahan-bahan pembelajaran dan pengajaran yang boleh dicapai melalui internet yang dapat dicapai di mana-mana dan bila-bila masa sahaja.

Perkembangan yang pesat dalam bidang teknologi terutamanya teknologi maklumat dan komunikasi telah memberi peluang yang luas kepada pendidik untuk meningkatkan kualiti pengajaran. Pelajar mempunyai kepelbagaian media dan pilihan untuk memperoleh ilmu. Keadaan ini telah memberi kesan kepada orientasi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas yang lebih berfokus kepada pelajar manakala guru memainkan peranan sebagai pemudah cara. BTP berperanan untuk memastikan produk teknologi pendidikan sesuai digunakan di dalam pengajaran dan pembelajaran.


Dengan perkembangan ICT yang semakin pesat, penggunaan teknologi sebagai bantuan pengajaran di sekolah sangat digalakkan. Penggunaan pendidikan atas talian atau e-learning semakin meluas seperti www.spp.edu.moe.my dan www.elearning.utm.my 


Lawatan ke Sektor Penyiaran




Lawatan ke sektor ini seolah-olah berada di ruang penyiaran TV3 dan RTM. Sektor ini berfungsi merancang, mengurus dan menilai proses penerbitan dan pemerolehan rancangan-rancangan TV Pendidikan berasaskan kurikulum serta rancangan-rancangan khas untuk dimuatnaik ke EduwebTV. Ia juga merancang, mengurus dan memantau pelaksanaan EduwebTV. Selain itu, sektor ini membuat liputan khas peristiwa semasa yang berkaitan dengan pendidikan dan merancang, mengurus, merekacipta, memantau dan menilai penghasilan grafik rancangan-rancangan TV Pendidikan. 

Program TV Pendidikan yang dilancarkan secara rasminya pada 19 Jun 1972 oleh Y.A.B. Perdana Menteri Malaysia Ke-2 Tun Haji Abdul Razak bin Dato’ Hussein, merupakan langkah kerajaan pada masa itu untuk merapatkan jurang pembelajaran antara pelajar bandar dengan pelajar luar bandar. Selama 27 tahun TV Pendidikan bersiaran melalui Saluran RTM 2 bermula tahun 1972 hingga 1999. Seterusnya, TV Pendidikan telah bersiaran di ASTRO melalui Saluran 13 dari tahun 2000 hingga 2006. Pada tahun 2007 hingga 2008, rancangan TV Pendidikan disiarkan melalui TV9. Mulai Mac 2008, rancangan TV Pendidikan tidak lagi dipancarkan melalui televisyen terestrial tetapi telah disalurkan ke internet melalui portal www.eduwebtv.com yang membolehkan murid-murid dan warga pendidik mengakses rancangan TV Pendidikan secara VOD (Video On Demand) pada bila-bila masa dan dari mana-mana tempat yang mempunyai talian internet.



Sektor Pengurusan Literasi Teknologi Pendidikan


Ruang Pameran                                                                            Rak-rak buku



Kami juga di bawa ke Pusat Sumber BTP, pusat ini menyediakan bahan-bahan bacaan untuk kegunaan kakitangan dan guru-guru yang datang ke sini. Di bahagian lain iaitu Unit Rakam adalah tempat menyimpan bahan-bahan video, audio dan peralatan seperti kaset, cd dan lain-lain lagi.

Sektor Pembestarian Sekolah

Di sektor Pembestarian sekolah berfungsi untuk merancang, mengurus, memantau, menyelaras dan menilai pelaksanaan Pelan Pembestarian Sekolah. Pembestarian sekolah merupakan proses berterusan ke arah meningkatkan lagi pengunaan ict dalam pendidikan dengan memberi fokus pada peningkatan kualiti pengajaran dan pembelajaran (p&p), keberkesanan pengurusan dan pentadbiran sekolah dan kompetensi guru. Program pembestarian sekolah juga memberi maksud mengaplikasikan konsep sekolah bestari iaitu sebagai satu institusi pembelajaran yang direka semula secara sistemik dari segi amalan pengajaran dan pembelajaran serta pengurusan sekolah untuk membantu murid-murid menghadapi era teknologi maklumat. Komponen utama pembestarian sekolah adalah berfokus kepada pengajaran dan pembelajaran serta pengurusan sekolah berbantukan ict. Proses pembestarian sekolah ini akan dapat melatih guru dan murid berkemahiran dalam bidang ict. Justeru, kemahiran yang diperoleh dapat melahirkan murid yang boleh mengamalkan pembelajaran akses kendiri (self-accessed), terarah kendiri (self-directed) dan kadar kendiri (self-paced).

Monday

LAWATAN KE PLANETARIUM

Selesai lawatan ke BTP dan menunaikan solat di Masjid Negara, kami telah pergi melawat ke Planetarium Negara iaitu lebih kurang jam 3 petang bagi melengkapkan program kami ke Kuala Lumpur.  Planetarium Negara Malaysia telah dirasmikan pada tahun 1994. Peristiwa tersebut bukan sekadar memberikan tumpuan kepada keseluruhan reka bentuk dan seni bina serta keunikan kemudahan Planetarium bahkan juga menggambarkan kesungguhan Kerajaan ke atas pembangunan sains dan teknologi angkasa. Planetarium Negara memainkan peranan yang penting dalam menghidupkan kesedaran kepentingan bidang sains angkasa di kalangan masyarakat dan mengorak langkah pertama dalam membawa Malaysia menceburi bidang sains angkasa. Secara tidak langsung lawatan ke Planetarium dapat membuka mata dan pengalaman baru kepada kami semua tentang dunia sains angkasa melalui gambaran dan  fakta-fakta yang dipaparkan.


.

AHLI KUMPULAN







PENSYARAH 
KPT4033- TEKNOLOGI DAN INOVASI DALAM PENDIDIKAN
UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA

EN MEGAT AMAN ZAHIRI BIN MEGAT ZAKARIA

AHLI KUMPULAN

1.  SITI JUNAIDAH BT ABDUL MANAN
     LP111101

2.  ANITA A/P SILVARAJOO                          
     LP111012

3.  ROZIAH BT ISMAIL                                   
     LP111091

4.  NORDIANA BT OTHMAN                          
     LP111038

Sunday

PENUTUP

Lawatan ke Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP) di Bukit Kiara banyak memberi ilmu, pendedahan dan pengalaman kepada mahasiswa dan mahasiswa kursus DPLI sebagai panduan kepada kami pada masa akan datang. Terdapat banyak kemudahan dan bahan rujukan yang disediakan di BTP yang mana para guru perlu menggunakan sepenuhnya kemudahan yang disediakan. Lawatan ilmiah seperti ini perlu terus dianjurkan untuk membuka mata para mahasiswa khususnya sebelum bergelumang dengan profesion perguruan nanti. Jutaan terima kasih kepada pensyarah Teknologi dan Inovasi Dalam Pendidikan kami iaitu En Megat Aman Zahiri  di atas kesudian beliau membawa kami ke lawatan ke BTP.